Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal Salat:
Perihal Sembahyang
Ketahuilah, wahai saudara-saudara sekalian, moga-moga Tuhan tambahkan kami dan kamu dengan pengetahuan agama, dan memimpin kami ke jalan yang lurus, serta menghindarkan kami dari segala kejahatan, diri dan kemahuan hawa nafsu bahwasanya sembahyang itu adalah tiang agama, dan sepenting-penting asas Islam yang lima sesudah dua kalimah syahadat.
Duduknya pada sisi agama, laksana pada sisi tubuh. Jika orang tidak boleh hidup tanpa kepala, demikian pula dengan agama, tidak boleh teguh tanpa sembahyang. Demikian maksud dari sebuah Hadis.
Moga-moga Allah Ta’ala menggolongkan kami dan kamu ke dalam golongan orang-orang yang senantiasa memelihara sembahyang, senantiasa mendirikan sembahyang dan khusyu’ di dalam sembahyang, serta menjaga waktu-waktu sembahyang. Demikianlah bunyi firman Allah Ta’ala yang telah mensifatkan para hambaNya yang Mu’minin di dalam kitabNya:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ (البقرة: 238
Sembahyang yang fardhu itu ialah lima: Zohor, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh. Lima sembahyang yang tersebut ini tidak harus ditinggalkan sama sekali pada bila-bila masa pun, selagi seseorang itu sempurna akal dan fikirannya. Sekalipun dalam keadaan tua, lemah dan sakit tenat.
Adapun sembahyang pertengahan itu, sebagaimana yang ditunjuk oleh sebuah Hadis yang sahih, ialah sembahyang Asar. Tuhan telah menyebut sembahyang ini kerana kelebihan dan keutamaannya, dan perkaranya pun telah terkenal dan termasyhur di dalam Islam, sehingga sampai sebab turunnya kelonggaran pada sembahyang khauf (sembahyang ketika dalam bahaya).
Ceritanya begini: Apabila kaum Muslimin sedang giat berjuang bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam salah satu ghazwahnya (peperangannya), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersembahyang dengan pejuang pejuang Muslimin itu sembahyang Zohor seperti caranya yang biasa, manakala kaum Musyrikin berada dekat dengan tempat itu, sedang melihat perbuatan kaum Muslimin. Apabila mereka selesai sembahyang, berkata setengah kaum Musyrikin kepada setengahnya: Kita harus menyerang mereka itu, ketika mereka sedang bersembahyang, niscaya kita akan menguasai mereka. Berkata yang lain pula: Sesudah ini, mereka akan bersembahyang lagi, suatu sembahyang yang mereka lebih utamakan daripada datuk-nenek mereka dan anak cucu mereka. Yakni, sembahyang Asar. Pada masa itulah turun Saiyidina Jibril kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam membawa petunjuk sembahyang khauf Cuba perhatikan, betapa besarnya kelebihan sembahyang Asar itu, sehingga ia dikenal oleh kaum Musyrikin juga.
Berfirman Allah Ta’ala:
مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (الروم : 31
“Dalam keadaan kembali kepada Tuhan , dan takutlah kepadaNya, serta dirikanlah sembahyang, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mempersekutukan Tuhan .” (Ar-Rum: 31)
Perkataan inaabah berarti: kembali kepada Tuhan . Taqwa: takut kepada Allah. Dan mendirikan sembahyang, yakni mengerjakannya dengan cara dan tertib yang diperintah oleh Allah Ta’ala.
Firman Allah Ta’ala lagi:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَّ َ الذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ َ والَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ َ والَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ َ والَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ِ الَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ َ فمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ َ والَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ َ والَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
(المؤمنون : 1-9)
“Sungguh telah menang (berbahagia) orang-orang yang beriman. Yang berlaku khusyu’ dalam sembahyang mereka. Yang telah menjauhkan diri dari perkataan yang kotor. Yang terhadap perintah zakat mematuhi. Yang memelihara kehormatannya. Melainkan kepada isteri-isteri mereka, ataupun kepunyaan tangan kanannya (sahaya perempuan), maka sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka barang siapa yang mengingini selain itu. merekalah orang orang yang melanggar batas. Dan mereka yang memelihara amanat dan janjinya. Dan mereka yang senantiasa memelihara sembahyang sembahyang mereka.” (AI-Mu’minun: 1-9)
FirmanNya lagi:
إلاّ المصلّين * الّذين هم عن صلاتهم دآئمون
( المعارج: 22-23)
“Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Yang tetap Dalam mengerjakan sembahyang itu.” (Al-Ma’arij: 22-23)
Allah Ta’ala telah mengecualikan mereka itu dari jenis manusia yang sentiasa berduka cita dan tidak sabar, tatkala ditimpa kesusahan; dan tidak bersyukur, tatkala mendapat kesenangan. Seolah-olah Allah S.W.T. berkata bahwasanya orang yang sebenar-benar sembahyang, bukanlah orang yang selalu berduka cita atau senantiasa berkeluh kesah dan tidak bersyukur. Pada pendapatku, ketiga-tiga sifat ini adalah dihitung munkar, sedang Allah Ta’ala telah berfirman:
اُتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ (العنكبوت : 45
“Dan dirikanlah sembahyang itu, sesungguhnya sembahyang itu melarang perbuatan keji dan munkar. dan sesungguhnya mengingati Allah itu lebih utama.” (Al-‘Ankabut: 45)
Orang yang bersembahyang, serta memelihara segala waktu-waktu sembahyang, akan dihalang oleh sembahyangnya dari mengerjakan segala yang dicegah Allah, seperti sifat-sifat yang tersebut di atas tadi, dan selainnya dari perkara-perkara yang dibenci Allah Ta’ala.
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
صلوا كما رأيتموني أصلي
“Sembahyanglah sebagaimana kamu lihat aku sembahyang.”
Tegasnya, orang yang bersembahyang itu harus menurut tatacara dan tertib yang ditunjuk oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sembahyangnya, seperti mana yang kita contohi dari para ulama salaf dan khalaf radhiallahu-‘anhum. Hanya orang yang bersembahyang sedemikian itulah yang dihitung orang yang mendirikan sembahyang dan memelihara sembahyang di sisi Allah Ta’ala.
Hakikat sembahyang lahir dan batin
Ada dua hakikat bagi sembahyang, yaitu; hakikat lahir dan hakikat batin. Sembahyang seseorang itu tidak akan dikira sempurna, melainkan dengan melaksanakan kedua-dua hakikat ini sekaligus.
Adapun hakikat lahir itu, ialah: Berdiri, membaca, ruku’, sujud dan seumpama itu dari tugas-tugas sembahyang yang lahir.
Adapun hakikat batinnya, ialah seperti khusyu’, hadir hati, tulus ikhlas yang sempurna, meneliti dan memahami makna-makna bacaan, tasbih dan seumpama itu dari tugas-tugas sembahyang yang batin.
Tugas sembahyang yang lahir ialah bahagian badan dan anggota. Manakala tugas sembahyang yang batin ialah bahagian hati dan rahasia kebatinannya. Yang kedua inilah tempat yang diperhatikan Allah terhadap setiap hambaNya, yakni hati dan rahasia dalam dirinya.
Berkata Imam Ghazali rahimahullah: Perumpamaan orang yang mendirikan sembahyang secara hakikat lahir saja, serta mengalpakan hakikat batinnya, penaka seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang sudah mati, tiada bernyawa Jagi, kepada seorang maharaja agung. Dan perumpamaan orang yang alpa dalam mendirikan hakikat sembahyangnya yang lahir, penaka seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang kodong kaki-tangannya, buta pula matanya, kepada seorang raja. Kedua-dua orang ini akan dimurkai raja disebabkan hadiahnya. Mereka akan disiksa dan dianiaya oleh raja kerana menghina kedudukan raja, serta mengabaikan haknya.
Imam Ghazali menyambung lagi, katanya: Samalah perumpamaannya dengan anda yang menghadiahkan sembahyangmu itu kepada Tuhan . Awas, janganlah sampai anda menghadiahkan sembahyang itu dengan sifat-sifat yang tersebut, sehingga anda patut menerima siksaan Allah Ta’ala. Sekian maksudnya.